Wednesday, 23 March 2016

Sayang Mak dan Abah Saya...Umrah Untuk Mak...

Assalammualaikum,

Lamanya saya tak menulis diruangan blog saya. Sangat sibuk hujung-hujung tahun 2015 dan awal-awal tahun 2016.

Ada cerita nak kongsi dengan anda semua. Saya nak perkenalkan ini Mak saya. Namanya Aishah. Nama Abah Khalid.Alhamdullillah, mak dan abah dapat khabar berita gembira pada bulan 10/2015 sebab mak dan abah akan pergi menunaikan umrah pada Bulan Februari 2016.Gembira sangat-sangat.Syukur alhamdullillah.

Abang saya Alias daftarkan pakej umrah untuk abah dan mak saya dengan Kelab Sukan Proton Edar Shah Alam. Pakej umrah tersebut di bawah Andalusia Travel And Tours. Memang terkenal agensi ini.

Mak dan abah datang KL naik ETS. Keretapi yang laju tu. Murah aje sebab warga emas. 2 jam sahaja dah sampai. Seronok sangat Afeef dan Maisarah sebab Atok dan Opahnya nak datang sini. 


Langkah pertama saya minta abah dan mak datang sini buat Passport, cucuk vaksin dan tangkap gambar untuk VISA. Itu dokumen penting untuk diserahkan pada agensi. Dokumen tambahan seperti surat nikah dan juga salinan kad pengenalan. Dalam masa setengah hari sahaja sudah siap semuanya.

Passport buat di Imigresen Taman Sri Rampai, Kuala Lumpur. Suami saya yang tolong bawakan mak dan abah. Sekejap sahaja sebab warga emas diberi keutamaan. Tunggu sejam sambil tu pergi sarapan dulu dan tangkap gambar untuk VISA. Siap buat passport, suami saya bawa mak dan abah pergi ambil suntikan vaksin di Klinik Idzham Medan Idaman, Gombak, Kuala Lumpur. Stok vaksin di klinik ini banyak dan bayaran RM 170.00 sahaja. Ada juga tempat-tempat lain yang murah sedikit tapi tiada stok. Apa yang penting, semuanya sudah siap.


 Comel sangat-sangat bila tengok gambar abah dan mak. Rasa terharu pun ada, gembira pun ada.

Untuk kursus yang pertama ini pada 21.11.2015 hari Sabtu dibuat di Proton Shah Alam. Abang saya Alias dan kakak ipar saya temankan mak dan abah kursus di sini .



Atas ni gambar ramai-ramai selepas habis training umrah. Training umrah ini sekali je di proton. Kalau nak training lagi boleh pergi HQ Andalusia Travel & Tours di Jalan Kampung Pandan, Kuala Lumpur setiap Sabtu dan Ahad daripada pukul 9.00pagi sehingga pukul 1.00 tengahari. Percuma untuk yang telah mendaftar.

Ini beg-beg yang Andalusia sediakan. Ada 3 beg setiap seorang Jemaah. Kualiti beg sangat bagus. 


Abah dan mak setiap dua minggu sekali akan datang KL untuk training umrah. Saya dan suami serta anak-anak yang temankan abah dan mak. Anak yang sulung ikut abah dan atuknya di tingkat 2. Saya dan anak perempuan ikut opah di tingkat 1. Sambil menyelam minum air, dapat ilmu dan 'feel' nak pergi umrah. Mana tahukan, rezeki datang dari Allah. Entah-entah tahun depan saya yang pergi umrah pula.

Habis training umrah saya bawa abah dan mak pergi makan tengahari kat Restoran kari kepala ikan Kg.Atap. Kami tak makan pun kari kepala ikannya. Makan nasi kandar pun dah kenyang. Makanan yang lain pun sedap jugak. Tengok gambar bawah ini. Comelkan abah dan mak. Siap pegang tangan lagi tu. Romantiknya. 


Selalu bila abah dan mak datang sini, saya mesti bawa abah dan mak makan di Restoran Jaguh di Selayang Indah. Kedai orang Kelantan. Sedap Dan Murah. Siapa yang suka makan tu, WAJIB datang ke restoran ini. Minta maaf sangat-sangat sebab tak ambil gambar restoran Jaguh tu. Terlupa!Tapi, kalau tanya orang Selayang, sebut aje nama Jaguh mesti tahulah!Abah dan mak suka makan di Restoran Jaguh ini. Katanya sedap. Memang kena dengan seleranya.

Abah dan mak datang training umrah pada hujung bulan November dan Disember 2015. Tiba-tiba, mak saya masuk hospital hari Tahun Baru 1 Januari 2016. Risau jugak dengan kesihatan mak. Mak nak pergi umrah lagi sebulan sahaja. Last day masuk hospital tahun lepas Bulan August 2015 sebab tak cukup darah. 2 beg jugak la kena masuk. Selalunya, bila dah masuk darah mak akan sihat dan aktif semula. Cuma kali ini, dah masuk 1 beg darah tapi dia macam tak seperti dulu. Tak secergas dulu.


Saya berdoa dan berharap mak cepat sembuh dan dapat mengerjakan umrah. Saya sayang mak saya sangat-sangat. Mak adalah segala-galanya. 

Alhamdullillah, mak sihat dan sudah keluar dari hospital selepas 3 hari. Kenduri doa bacaan yassin dan doa selamat diadakan pada 16.1.2016 hari sabtu. Lega rasanya bila kenduri doa baca yassin dan doa selamat sudah dibuat. Cuma pada hari tersebut, mak baring je atas katil. Letih, sakit, tak larat dan tak bermaya. Katanya, dia nak rehat dan nak tidur. Saya mula risau sepanjang hari tu. 

Makin lama tidak boleh dibiarkan, sebab mak tak lalu nak makan. Makan 5 suap, minum air, makan ubat. Tak boleh jadi kalau macam ini. Saya, abang saya dan abah bawa juga mak ke hospital pada hari kenduri sebelah petangnya. Saya dah tak sanggup tengok mak asyik tidur, mengadu sakit perut dan tak larat makan. Pergi hospital ambil darah dan ujian kencing tidak menunjukkan apa-apa. Hospital benarkan mak saya pulang. 

Lega rasanya bila mak dah ok sikit tapi... berat hati saya nak tinggalkan dia di Perak kerana saya perlu balik ke KL. Sedihnya tinggalkan mak dan abah.

Hari Selasa 19.1.2016 saya telefon mak saya untuk bertanya khabar. Tapi, abah yang jawab. Abah kata perlu bawa mak ke hospital sebab malam dia tak boleh nak tidur. Asyik sakit dan disuruh urut. Saya terus telefon abang saya Zulkifli untuk bawa mak ke hospital.

Mak dipindahkan ke Hospital Manjung pada tengaharinya. Saya hubungi Hospital Batu Gajah . Mak dipindahkan ke sana kerana di Hospital Batu Gajah tiada pakar dan hospital terdekat yang ada pakar adalah Hospital Ipoh tetapi sudah penuh. Hospital yang terdekat yang ada pakar adalah Hospital Manjung dan kerana itulah mak dipindakan ke sana. Makluman daripada pihak hospital mak ada jangkitan kuman paru-paru yang agak kritikal. 



Saya mula panik dan telefon adik mak saya Mak Yah dan anak Mak Yah sepupu saya Nor Heralia di Manjung. Merekalah yang menguruskan mak di Hospital Manjung sementara itu, abah dan nyah balik ke rumah mengemas barang untuk dibawa ke Manjung. Standby pakaian mak dan abah banyak sikit sebab mungkin mak akan tinggal lama di hospital Manjung untuk rawatan susulan.

Tapi, apakan daya...Ketentuan Allah, Mak telah pergi buat selama-lamanya. Saya hanya mampu menangis ketika mendengar khabar berita dari abang saya sewaktu perjalanan pulang. Saya tidak sempat jumpa mak saya. Abang saya berulang kali memujuk mak supaya bersabar, bertahan untuk menunggu saya dan abang sulung saya pulang. Tapi, mak berkata ' Mak dah tak tahan dah....

Abang saya Zulkifli memujuk lagi supaya mak saya bertahan dan menyatakan Kima(Panggilan saya) dah otw balik nak jumpa mak. Mak saya hanya mampu menjawab. ' Sayang dia...

Saya menangis dan meraung bila abang saya Zulkifli menceritakan keadaan dia dan kata-katanya di saat dia mahu pergi buat selama-lamanya. Al-Fatihah.

Mak sudah pergi buat selama-lamanya. Saya hilang kawan sembang saya, tempat mengadu saya, tempat aduan susah senang saya. Saya sangat sedih ketika itu. 

Setiap yang berlaku ada hikmahnya. Kita hanya mampu merancang tetapi Allah yang tentukan. Tetapi, ketika itu jugalah saya mendapat panggilan dan keizinan dariNYA untuk melakukan Umrah untuk diri saya dan 'Umrah Untuk Mak'...Sayang mak sayang...Umrah Badal untuk arwah Mak....












1 comment:

  1. Assalamualaikum,

    Dari Kami Warga Keja Kelab Sukan Proton Edar

    Terima Kasih kerana memberi kepercayaan kepada Kelab Sukan Proton Edar di bawah bimbingan Presiden Tuan Haji Mohd Faizal Hasan dengan kerjasama Andalusia Travel & Tour Sdn Bhd.

    Pertamanya salam takziah kami hulurkan di atas pemergian Ibunda tercinta, Beliau tidak sempat untuk bersama sama kita dalam mengerjakan ibadah umrah, walaubagaimana pun in sya Allah beliau mendapat pahala seperti yang telah di niatkan itu.

    Kepada Puan Mariam, Sehingga berjumpa lagi di masa yang lain dan kami berdoa agar Puan sekeluarga akan di beri kesempatan untuk menegrjakan ibadah Umrah bersama anak Yatim Tahfiz kelolaan kami.

    Pihak Kami juga ingin memohon maaf jika ada sebarang kekurangan semasa di Madinah dan juga di Makkah, Yang baik datangnya dari Allah jua dan yang kurang baik itu adalah kelemahan dari kami.

    Sehingga berjumpa lagi

    Kelab Sukan Proton Edar
    Facebook : Pesb Sport Club
    Jeddah, Saudi Arabia.

    ReplyDelete